Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s terhadap putera kesayangannya Nabi Ismail a.s jelas membuktikan betapa patuhnya mereka menjunjung perintah Allah SWT demi kasih sayang yang abadi. Wahai ibu bapa sekalian, marilah fahami erti pengorbanan penuh keikhlasan.
Setiap kali menyambut Aidil Adha, kita pasti mengingati peristiwa pengorbanan yang paling hebat dalam sejarah peradaban manusia. Nabi Ibrahim a.s yang telah melakukan pengorbanan 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta bukan sahaja mengagumkan manusia bahkan para malaikat. Nabi Ibrahim sanggup berkorban apa sahaja semata-mata kerana Allah SWT hatta mengorbankan anak lelakinya jua. Dengan izinNya, apabila beliau dikurniakan cahaya mata lelaki, diperintahkan oleh Allah SWT agar menyembelih Nabi Ismail sebagai korban. Nabi Ibrahim menyanggupinya demi ketaatan dan kasih sayangnya pada Allah SWT.
Menurut Datin Aminah Zakaria, penceramah bebas, peristiwa pengorbanan itu menjadi satu ibadat agar orang beriman sanggup berkorban apa yang diperintahkan demi ketaatan pada Allah SWT. “Daripada peristiwa itu juga menunjukkan kasih sayang antara Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar terjalin erat tetapi mereka tetap dapat mengatasinya bila berhadapan dengan perintah Allah. Rasa tanggungjawab menjunjung perintah Allah mengatasi segalanya. Adakah kita dapat melakukan perkara yang sama jika perlu berhadapan dengan dua perkara yang amat disayangi?”
Mengaitkan peristiwa pengorbanan terhebat itu dengan kehidupan seharian kita pada hari ini yang juga tidak sunyi daripada banyak pengorbanan diharap dapat membentuk karektor diri kita menjadi manusia yang lebih baik.
Pengorbanankah itu?
Usaha untuk menjadi ibu bapa yang terbaik kepada anak-anak membuatkan kadang kala kita mengabaikan keperluan diri sendiri. Bertungkus lumus siang dan malam keluar bekerja semuanya demi membina kesenangan sekeluarga. Meninggalkan anak-anak pada pengasuh yang amanah dan bersifat penyayang menjadi tanggungjawab pada ibu bapa. Sepulangnya dari kerja, ibu bapa perlu sanggup berkorban dari segi masa yang dimiliki untuk dihabiskan bersama anak-anak yang telah ditinggalkan.
“Itulah pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab. Oleh kerana banyak masa dihabiskan dengan bekerja maka masa yang selebihnya itu perlu diperuntukkan untuk anak-anak. Luangkan masa berkualiti supaya anak terasa dilayan dan diberi perhatian sewajarnya. Ibu bapa wajib memberikan didikan intelektual dan rohani walaupun masa yang ada bersama anak-anak amat sedikit. Walau penat macam mana pun, ibu bapa perlu mengenepikannya dan bersemangat tinggi serta berjiwa besar demi anak-anak supaya mereka terasa kehadiran mereka dihargai.”
Curahkan kasih sayang
Memberikan perhatian dan belaian kasih sayang pada anak-anak dapat membentuk karektor diri anak-anak menjadi insan yang dilimpahi kasih sayang seterusnya membesar sebagai manusia yang prihatin pada orang lain. Curahan kasih sayang adalah aset penting dalam pendidikan anak-anak. Menurut Datin Aminah, ibu bapa perlu menunjukkan dan menzahirkan kasih sayang terhadap anak-anak. “Cara menunjukkan kasih sayang ada bermacam cara. Tidak semestinya hanya dengan perkataan bahkan dengan tindakan seperti dakapan, ciuman, belaian pastinya berbekas di hati anak-anak.
Dia turut berkongsi satu hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud ‘antara dua kening ibu adalah menjadi dinding daripada api neraka.’ “Maka ajarlah anak untuk mencium antara dua kening kita sebagai ibu. Insya Allah ke mana mereka pergi kasih sayang terhadap ibu tetap utuh,” katanya tegas. Pesannya agar ibu bapa masa kini mementingkan kasih sayang dalam keluarga sambil mengingatkan petikan kata-kata Dr Yusuf Al-Qardawi bahawa kasih sayang sama seperti simen yang berfungsi untuk mengikat batu-bata sehingga struktur bangunan dapat bernaung dengan kukuh. Ia sama seperti kasih sayang yang dicurahkan sejak kecil pada anak-anak akan dapat membina diri mereka menjadi insan yang penuh kasih sayang.
“Ingatlah para ibu bapa, sesungguhnya soal kasih sayang tidak akan selesai hingga di Padang Masyhar. Allah SWT akan menyoal dua perkara sebelum meniti titian siratulmustaqim iaitu silaturahhim sesama manusia dan sifat amanah. Jelas membuktikan nilai kasih sayang ibarat pagar yang dapat menjadi benteng kukuh diri kita,” ujarnya yang mengagumi nilai kasih sayang hebat yang ditujukkan oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar.
Soalan kekeluargaan
Soalan:
Sebagai ibu bapa, kadang kala akibat sibuk bekerja mencari rezeki kita mengabaikan perhatian terhadap anak-anak. Namun kita mencari rezeki juga untuk anak-anak. Adakah ianya pengorbanan yang berlaku sebagai ibu bapa yang bekerja?
Jawapan:
Jika sedemikan, ianya bukan pengorbanan tetapi kesilapan ibu bapa. Ibu bapa yang bekerja seharusnya peka terhadap pembahagian masa mereka. Walaupun tanggungjawab mencari rezeki penting untuk membina kebahagiaan keluarga tetapi perlu difahami bahawa tugas mendidik anak adalah lebih penting kerana tujuan mencari rezeki juga untuk beri kebahagiaan pada kehidupan sekeluarga. Tugas mendidik anak terletak di bahu ibu bapa, oleh itu sebagai ibu bapa yang bijaksana rancanglah pengurusan anak-anak agar tidak terabai semasa keluar bekerja tetapi jangan sekali-kali mengalihkan tanggungjawab tersebut pada nenek dan datuk.
Tarikh: 23 Oktober 2012
No comments:
Post a Comment