Alam pembelajaran anak-anak tidak pernah berhenti daripada mula dia membuka matanya di awal pagi sehinggalah dia kembali tidur di malam hari. Setiap hari ada lembaran baru yang ingin ditambah dalam buku kehidupannya. Sifat mereka yang tidak mengenal erti putus asa untuk mengetahui sesuatu yang baru menyuntik motivasi diri yang tinggi untuk mempelajarinya.
Justeru, sebagai ibu bapa yang prihatin, ini juga merupakan keperluan anak yang perlu dipenuhi. Jika dalam dua keluaran lepas kita telah sama-sama ketahui cara pembelajaran yang sesuai untuk anak-anak yang mendominasi ciri visual dan kinestatik. Insya-Allah pada keluaran kali ini kita akan bincangkan cara mendekati anak yang mempunyai kekuatan audio atau pendengaran.
Anak-anak audio belajar secara mendengar. Mereka ini sangat peka dengan bunyi-bunyian. Bagi mengenali kelompok ini, antara ciri-ciri yang boleh dikenalpasti ialah mereka sangat gemar bercerita, mudah memahami maksud percakapan dan turutan perkataan.
Kebiasaannya, percakapan mereka juga jelas dan teratur. Berlainan dengan kanak-kanak visual, mereka dalam kelompok ini gemar memerhatikan perkataan-perkataan yang terdapat dalam buku dan sukar membezakan warna.
Anak-anak ini juga mempunyai ingatan yang kuat terhadap nama, cerita dan apa sahaja yang didengarinya. Kebolehannya ini menjadi bahan asas kepada cerita yang bakal disampaikan.
Cara pembelajarannya yang berfokus kepada fungsi telinga menjadikannya sangat peka terhadap apa yang diucapkan oleh orang di sekelilingnya.
Jangan Tercemar Perkataan Negatif
Justeru, sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa memastikan bahawa pendengaran mereka tidak tercemar dengan perkataan-perkataan negatif. Kegagalan kita untuk membendung perkara ini akan memberi ruang untuk dia menggunakan perkataan yang sama sewaktu berinteraksi dengan orang lain.
Justeru, sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa memastikan bahawa pendengaran mereka tidak tercemar dengan perkataan-perkataan negatif. Kegagalan kita untuk membendung perkara ini akan memberi ruang untuk dia menggunakan perkataan yang sama sewaktu berinteraksi dengan orang lain.
Setelah mengenal pasti ciri-ciri ini, peringkat seterusnya ialah mengetahui kaedah yang paling bersesuaian untuk anak-anak ini belajar. Kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah pada bahagian pendengaran memudahkan ibu bapa menyampaikan sesuatu kepadanya melalui percakapan sahaja.
Mereka tidak menggemari gambar yang banyak atau warna yang terlalu banyak dan berbeza. Kehadiran elemen ini akan mengganggu tumpuan mereka terhadap pembelajaran. Memadai dengan interaksi verbal kanak-kanak ini sudah dapat memahami.
Contohnya, untuk mengajarnya mengeja epal, memadai dengan arahan dan ketera ngan lisan untuk mengejanya mereka boleh memahami. Penggunaan audio CD dalam pembelajaran memudahkan mereka untuk mendapat sesuatu pembelajaran yang baru dengan cepat.
Dalam kehidupan pula, jika ibu atau ayah memerlukan mereka membuat sesuatu atau pergi ke sesuatu tempat mereka boleh memahami dengan jelas hanya dengan interaksi verbal yang berlaku dan ingatan terhadap perkara itu akan berkekalan lama.
Selain itu, anak-anak ini gemar membaca atau belajar dengan cara kuat. Cerita atau kandungan pembelajaran yang didengari akan cepat diingati berbanding jika mengulang kajinya secara senyap. Jadi, seeloknya sediakan mereka ruang untuk belajar. Tidak salah untuk turut serta dalam ulang kajinya sebagai pemeriksa apa yang dibacanya secara kuat atau bertanya soalan seperti kuiz terhadap subjek yang sedang diulang kaji.
Campur tangan ibu atau ayah ini memberi manfaat besar dalam dunia pembelajaran anak-anak. Keselesaan mereka untuk belajar secara begitu memberi kuasa optimum terhadap tumpuan pembelajarannya dan skil yang tepat ini memudahkan anak-anak mendaki tangga kejayaan. Dalam pembelajaran kehidupan pula, ibu bapa perlu menyediakan ruang masa untuk mendengar luahan dan persoalan yang ditimbulkan.
Masa yang kita peruntukkan ini dinilai sebagai tanda kasih sayang kita pada dirinya. Oleh itu, jadilah pendengar mereka yang setia dan aktif. Jika berlaku sebarang masalah bercakaplah dengannya secara baik, mereka sangat memahami dan tersentuh dengan bait-bait perkataan yang kita luahkan.
Akhirnya, hargai dan gunakanlah kekuatan yang ada dalam diri mereka dengan sebaiknya bagi membangkitkan kecemerlangan diri anak-anak. Benarlah Firman Allah S.W.T “Setiap anak Adam itu dijadikan dengan sebaik-baik kejadian”.
Semua yang ada pada diri setiap insan adalah permata yang sangat bernilai untuk pembangunan dirinya sendiri. Segala puji bagi Allah atas nikmatnya yang sangat bernilai, Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment