Monday, 2 July 2012

5 Tips Bagaimana Menghadapi Realiti Alam Pekerjaan


Alam pekerjaan adalah sangat berbeza dengan alam pengajian dan disebabkan perbezaan tersebut terdapat segelintir individu yang terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di tempat kerja. Namun begitu, tidak semua individu mampu untuk berhadapan dengan persekitaran baru ini bahkan ada yang kecundang di tengah jalan.
Hal ini adalah disebabkan beberapa faktor yang harus di ambil kira terutamanya bagi individu yang tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja. Dunia sebenar pekerjaan adalah tidak seperti yang dipaparkan di dalam drama dan tidak seindah seperti apa yang difantasikan oleh seseorang individu. Berikut adalah tips penting bagi pencari kerja (job seeker) untuk menghadapi dunia sebenar alam pekerjaan.

Corak Pekerjaan Kini

Individu hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan corak pekerjaan semasa. Hal ini adalah penting bagi individu yang sedang mencari pekerjaan kerana untuk mendapat tempat bagi sesuatu jawatan atau pekerjaan individu harus bersaing dengan individu lain yang mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Individu hendaklah mengkaji apakah pekerjaan yang mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran semasa. Jika dilihat pada perkembangan pasaran buruh semasa, pekerjaan yang mempunyai permintaan yang tinggi adalah seperti telemarketer , pereka grafik, programmer, akauntan, finance dan sebagainya.

Pengalaman

Pengalaman adalah penting pada masa kini. Jika dilihat pada iklan yang dipaparkan di dalam media massa atau media cetak 90 peratus daripada pekerjaan yang ditawarkan memerlukan individu yang mempunyai pengalaman bekerja. Di sini wujudnya persaingan sengit di antara individu yang mempunyai pengalaman bekerja dengan individu yang baru sahaja tamat pengajian.
Oleh itu individu yang tidak mempunyai pengalaman bekerja haruslah tahu untuk “menjual diri” dalam erti kata yang lain tahu bagaimana untuk menyakinkan bakal majikan atau penemuduga agar tertarik dengan kelebihan yang dimiliki oleh individu terbabit yang boleh memberi manfaat dan keuntungan kepada organisasi atau syarikat.

Komunikasi

Komunikasi merupakan salah satu medium perhubungan di mana melibatkan interaksi antara dua individu atau lebih. Adalah penting untuk individu memahami jenis komunikasi sama ada ianya adalah komunikasi sehala ataupun dua hala.
Sebagai pekerja baru di dalam sesebuah organisasi individu haruslah bersedia dari aspek emosi dan mental di mana kebiasaannya individu akan terlibat dengan komunkasi sehala yang mana mereka akan sentiasa menerima arahan untuk melakukan sesuatu tugasan.
Sebaliknya, jika individu di tindas individu berhak untuk bersuara tetapi hendaklah bersuara secara professional. Perbezaan usia dan jawatan juga merupakan salah satu isu di dalam sesetengah organisasi. Oleh itu, individu hendaklah tahu bagaimana cara untuk bergaul dengan pelbagai jenis lapisan di dalam organisasi tanpa merasa kekok dan hendaklah sentiasa merendah diri dan tidak sombong.

Suka Atau Terpaksa

Adakah anda bekerja kerana anda sukakan pekerjaan yang anda lakukan atau anda terpaksa bekerja disebabkan anda mempunyai tanggungan seperti keluarga, pinjaman pengajian, rumah sewa, kenderaan dan sebagainya? Persoalan ini sering kali menghantui fikiran individu terutama individu yang terlalu memilih pekerjaan dan mempunyai sikap yang rigid dalam pemilihan kerjaya.
Secara rasionalnya, pada masa kini sekiranya individu masih mempunyai sikap memilih pekerjaan ianya akan merugikan individu itu sendiri khususnya bagi individu yang tidak mempunyai pengalaman dalam dunia pekerjaan. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk mendapatkan pengalaman dan mendalami selok belok dalam sesebuah organisasi. Suka atau terpaksa haruslah diketepikan. Apabila individu telah mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 6 bulan bekerja, barulah persoalan suka atau terpaksa diambil kira.

Kumpulan Sokongan

Setelah memasuki alam pekerjaan, adalah penting bagi individu untuk mempunyai kumpulan sokongan. Hal ini adalah kerana, minggu pertama merupakan minggu yang mungkin memberi tekanan kepada sesetengah individu dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Oleh itu dapatkan sokongan dan bantuan dari segi mental dan emosi daripada kumpulan sokongan anda.
Kumpulan sokongan adalah seperti ibu bapa, rakan karib dan pasangan. Carilah orang yang sesuai untuk meluahkan apa yang terbeban di fikiran anda. Dengan mendapat sokongan daripada orang-orang yang signifikan ianya dapat membantu memotivasikan seseorang individu dan individu akan merasa dirinya dihargai dan sentiasa disokong.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...