Ikuti panduan ini supaya urusan menguruskan rumah tangga menjadi satu tanggungjawab bersama :

51. Dalam tubuh seorang lelaki terdapat hormon kelelakian iaitu testosteron yang penting dalam kehidupan mereka sebagai seorang lelaki. Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad dalam blognya, www. drzubaidi.com, hormon tersebut penting bagi menyemarakkan syahwatnya sebagai lelaki, tetapi yang lebih penting, menjadi kreatif, lebih pintar dan matang serta mampu melakukan tugas-tugas yang diamanahkan sebagai seorang suami.
52. Suami yang bersemangat dan bersyahwat adalah lelaki yang bersemangat ketika bekerja termasuk membantu kerja-kerja rumah. Oleh itu pastikan anda memberikan layanan batin yang mencukupi untuk suami.
53. Kebijaksanaan. Bagi mendapatkan bantuan suami, anda harus kreatif berfikir dan bertindak secara bijak. Antara ciri-ciri yang disukai suami ialah kebijaksanaan isterinya.
54. Memahami suami. Isteri perlu faham tentang kitaran hormon testosteron suami. Kepekatan hormon tinggi di awal pagi dan menurun menjelang petang.
55. Masa sesuai. Jangan sesekali meminta suami membantu anda ketika dia baru balik kerja. Ketika itu, badan dan mindanya letih. Berikan dia masa untuk berehat, mandi dan solat. Jika ‘mood’ baik, gunakan ruang masa ini untuk meminta bantuannya.
56. Jangan bermasam muka sambil mengkritik keadaan suami yang kepenatan pulang dari kerja. Suami akan terus menjadi lebih tertekan dan hormon testosteron menjadi semakin rendah seterusnya tidak mampu menghulurkan bantuan kepada isteri.
57. Kata-kata bebelan seperti “Abang ni asyik tengok TV saja. Tak membantu saya langsung. Saya pun penatlah..” hanya akan membuatkan suami berasa gagal.
58. Hormon tersebut mempengaruhi mental lelaki dengan mengurangkan rasa stres. Lelaki yang stres akibat kekurangan hormon testrosteron bukan sahaja kurang bernafsu terhadap isteri, malah kurang semangat untuk menjalankan tugas sebagai suami dan ketua keluarga.
59. Minta bantuan suami daripada awal perkahwinan. Insya-Allah jika sejak mula anda telah biasakan suami membantu, ia tidak akan menjadi masalah di hari kemudian.
60. Jangan terlalu manjakan suami sejak hari pertama berkahwin iaitu semua tugas isteri ingin lakukan sendiri.
61. Jika hendak melipat pakaian, bawalah ia ke tempat di mana suami anda berada, biasanya sebelah malam suami gemar bersantai di depan televisyen.
62. Minta bantuan anak kecil anda jika suami memang kategori yang sangat ‘liat’. Caranya, minta si kecil sampaikan pesanan anda kepada papa. Sebagai contoh, ‘Papa, mama minta tolong angkat kain di ampaian’. Sebagai bapa, dia sudah tentu ingin menunjukkan contoh yang baik kepada anak dan lama kelamaan, suami akan faham.
63. Maklumkan lebih awal. Anda bakal bertugas di luar kawasan untuk beberapa hari. Pastikan anda memaklumkan suami lebih awal agar dia bersedia dan merancang urusan peribadinya. Ini penting bagi mengelakkan perbalahan di saat-saat akhir kerana dia sudah mengatur agenda lain. Jika ini berlaku, siapa yang akan menguruskan anak-anak?
64. Ramai dalam kalangan kita yang terlalu cerewet dalam pelbagai perkara. Pendek kata ‘perfectionist’! Namun ingat, jangan sesekali membiarkan sikap ini menimbulkan ketidakselesaan suami. Jika anda mengharapkan semua sempurna, anda mungkin akan kecewa dan tertekan.
65. Berterus terang kepada suami yang anda perlukan pertolongan dia. Jangan simpan dalam hati kelak memakan diri. Lagipun kita semua dituntut berbuat sesuatu dengan ikhlas. Ingat, apa jua perkara yang dilakukan dengan niat yang baik akan beroleh rahmat.
66. Sikap saling bantu-membantu amat dituntut agama pada setiap pasangan suami isteri. Perkara ini bukanlah perkara baru bagi pasangan suami isteri kerana Nabi Muhammad s.a.w sendiri membantu isteri baginda dalam hal ehwal rumah tangga dan urusan anak.
67. Contohi Rasulullah s.a.w. Biarpun baginda sibuk menjalankan tugas sebagai Rasul tetapi tetap meluangkan masa membantu kerja rumah isteri seperti menjahit pakaian dan membaiki kasut.
68. Panjatkan doa kepada Allah agar melembutkan hati suami. Amalkan membaca surah al-Insyirah sebagai doa pelembut hati.
69. Ikhtiar berterusan tanpa jemu. Ketika memasak atau menyediakan minuman, anda boleh membaca doa pelembut hati sambil berdoa agar suami terbuka hati untuk membantu membereskan kerja-kerja rumah.
70. Kata-kata pujian. Anda tentu terkejut kerana kata-kata pujian boleh membuatkan suami menjadi ringan tulang untuk membantu. 71. Jangan putus asa untuk meminta bantuan suami
72. Berkongsi tanggungjawab mengenai urusan rumah tangga bukan sahaja terhad kepada kerja-kerja rumah, malah urusan anak-anak dan lain-lain perkara berkenaan kehidupan berkeluarga juga tidak terkecuali.
73. Andai anda tidak berkesempatan ambil anak dari taska atau tadika, minta bantuan suami. Anda boleh melakukan tugas lain misalnya membeli makanan untuk makan malam atau terus pulang untuk memasak.
74. Bantu isteri melakukan kerja rumah adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan.
75. Anda teringin untuk mengubah dekorasi rumah misalnya mengecat dinding dengan warna lain. Jadi, ajak suami berbincang warna apa yang sesuai. Kesepekatan akan memudahkan anda berdua bekerjasama.
76. Puji suami depan orang lain. Selain memuji dirinya ketika anda berdua-duaan, anda juga tidak perlu lokek puji suami depan orang lain. Malah ia sangat dituntut oleh-Nya.
77. Jaga aib suami. Walaupun suami anda kurang rajin membantu anda, elakkan bercerita kepada orang lain tentang kelemahan itu. Andai suami anda mendapat tahu anda memujinya, dia akan malu sendiri dan mula berfikir, ‘baiknya isteri aku’.
78. Toleransi yang tinggi. Sikap sebegini akan membantu kedua-dua pihak melalui kehidupan berkeluarga dengan penuh kedamaian.
79. Beralah tidak bererti kalah. Andai berlaku ketegangan gara-gara anda minta bantuan, cuba beralah. Anda harus bersabar jika mahu mengubah tabiat seseorang. Lakukan secara berperingkat.
80. Kritikan membina. Kritik hasil kerja suami tidak salah tapi perlu ada caranya. Jika hasilnya tidak sempurna seperti yang anda harapkan, usah mengkritik keras hingga melukakan hati suami. Cuba ‘berlapik’ bila menegur.
81. Jangan pendam perasaan anda. Jika rasa tidak selesa untuk meluahkan perasaan, cubalah cara lain dengan menulisnya. Pasangan berhak mengetahui perasaan anda.
82. Dapatkan petua dan nasihat orang tua tentang ilmu kekeluargaan.
83. Berkongsi bahan bacaan tentang rumahtangga bersama suami misalnya buku, cakera padat dan sebagainya. Anda juga boleh menghantar lagu-lagu yang menarik kepadanya. Lama-kelamaan suami akan faham isi hati anda.
84. Lelaki membuat kerja rumah boleh bantu kurangkan kadar perceraian. Menurut media Finland, Menteri Kebudayaan dan Sukan Finland, Stefan Wallin, “Lebih banyak tanggungjawab yang dipikul oleh bapa di rumah, semakin kuranglah perceraian.”
85. Ibu bapa yang berkongsi tanggungjawab di rumah telah menunjukkan contoh untuk diteladani oleh anak-anak. Jika anak-anak melihat perasaan saling membantu diamalkan dalam keluarga, mereka akan semulajadi turut ringan tulang membantu.
86. Tiada rungutan, hanya permintaan. Rungutan adalah sesuatu yang negatif. Mengapa tidak tukarkannya kepada permintaan? Elakkan daripada berkata “Saya melakukan semua kerja rumah dan awak tidak membantu langsung!”, sebaliknya katakan “Boleh tak awak sediakan makan malam kerana saya hendak mandikan anak?”
87. Jangan fikir anda memahami satu sama lain dengan baik. Anda dan pasangan tidak boleh membaca fikiran masing-masing. Tanamkan tabiat suka bertanya sebelum anda mengandaikan apa yang ingin disampaikan oleh pasangan.
88. Suami akan rasa puas apabila merasakan dia adalah suami yang hebat melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan dengan baik. Peranan isteri sebagai penasihat dalam rumah tangga dapat memastikan keharmonian rumah tangga.
89. Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja.
90. Suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna. Maka menerima dan memberi kelebihan dan kekurangan masing-masing mengekalkan keharmonian rumah tangga.
91. Syukuri apa yang anda miliki. Jangan membezakan suami dengan orang lain. Kadang kala ada suami yang kurang pandai urusan rumah tangga tetapi mempunyai kelebihan menjaga anak jadi biarkan dia dengan tugas itu sementara anda fokus kepada urusan kerja rumah.
92. Jangan merajuk tanpa sepatah kata. Kebiasaannya suami kurang arif emosi isteri. Jika tersilap langkah, suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati dan mula mencipta rasa marah.
93. Tanya suami apa cabaran paling besar berlaku kepadanya pada hari tersebut, sama ada di pejabat atau di rumah. Kongsikan apa yang anda alami juga sepanjang hari tersebut. Dari situ mungkin suami simpati dan faham isteri juga keletihan di tempat kerja dan dengan sendirinya dia rela membantu kerja-kerja di rumah.
94. Katakan anda sibuk membuat kerja-kerja dalam rumah, minta bantuannya untuk membuat kerja-kerja di luar rumah seperti ke kedai membeli barangan dapur, membersihkan laman rumah dan sebagainya.
95. Biasanya waktu malam adalah masa yang singkat bagi pasangan yang bekerja. Jadi tentu banyak kerja perlu dibereskan dalam satu masa. Bagi pilihan kepada suami. Contohnya, “Abang nak tolong sidai baju atau tidurkan anak?” Dengan cara ini dua tugas boleh selesai serentak dan anda berdua boleh berehat atau tidur bersama selepas itu.
96. Membuat kerja rumah bukan tugas yang digemari oleh lelaki. Apa kata jadikan ia waktu menyeronokkan seperti anda berlumba siapa yang siap dahulu akan mendapat ganjaran. Orang yang kalah perlu belanja makan yang menang, jadi ambil peluang ini untuk memberinya peluang menang.
97. Guna psikologi untuk meminta bantuannya memasak. Katakan yang anda teringin untuk merasa masakannya yang sedap.
98. Kadangkala anda perlu juga bertegas. Berterus terang itu lebih baik berbanding pujuk rayu atau mengharapkan suami membaca fikiran kita.
99. Bagi yang menyusukan bayi, sokongan suami sangat diperlukan. Jadi, anda harus memberi banyak maklumat tentang penyusuan bayi dan peranan suami. Caranya, ajak suami ke kelas antenatal, hadir ke kelas keibubapaan dan kelab penyusuan.Apabila mereka faham, mudah untuk mereka membantu.
100. Kepada para suami, tugas menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insya-Allah akan bertambah semarak cinta.